COVID19 adalah satu penyakit yang disebabkan virus yang dipanggil SARS-CoV-2. Virus yang dikenalpasti dari Wuhan, China sehingga kini telah meragut jutaan nyawa seluruh dunia. Antara gejala-gejala yang dialami seseorang yang dijangkiti virus ini termasuklah demam, batuk, sesak nafas, hilang deria bau dan rasa, keletihan yang terlampau dan banyak lagi. Penularan wabak COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada kelangsungan hidup, keselamatan dan kesihatan di dalam komuniti. Bagi membendung wabak ini dari terus merebak, pelbagai garis panduan yang telah dikeluarkan. Oleh kerana virus ini terus bermutasi dan kita masih belum temui ubat yang khusus untuk merawat penyakit ini, kita hendaklah beradaptasi dengan norma-norma baharu untuk memastikan diri kita sentiasa selamat dan terlindung dari wabak ini.